Jangan Anggap Wanita Sebagai Ancaman Dalam Politik


BINTULU : Kaum wanita Dayak tidak diberi peluang untuk mendapat tempat sebagai pembuat keputusan di dalam mahu pun di luar parti walaupun wanita mempunyai pendidikan tinggi serta berkaliber.

Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato' Sri Doris Sophia Brodie berkata, dimanakah silap dan halangan atau sememangnya kaum wanita kurang diberi perhatian untuk membuktikan kehebatan mereka.

"PRS mempunyai 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan enam Ahli Parlimen (MP) namun malangnya tidak seorang terdiri daripada kaum wanita.

"PRS mempunyai enam setiausaha politik dan tiga daripadanya adalah wanita malah 132 orang kaunselor di seluruh Sarawak namun 13 orang sahaja kaum wanita yang dilantik serta ia tidak mencapai peratusan 10%," katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan PRS di sini sebentar tadi.

Doris berkata beliau pernah di lantik sebagai senator dan pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan persoalannya adakah PRS sudah merasa cukup peluang diberi kepada wanita di atas perlantikan beliau tersebut.

"Namun saya menyeru kepada semua pihak terutama sekali kaum bapa serta kepimpinan parti agar kaum wanita diberi perhatian yang sewajarnya dan diberi peluang sama serta setimpal dan sebagainya.

"Jangan sesekali menganggap wanita sebagai ancaman dan sebagainya kerana wanita adalah rakan atau rakan kongsi kaum lelaki," jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA