Jangan Anggap Semua Penjawat Awam Terlibat Rasuah Hanya Kerana Segelintir Individu - KSN


PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) -- Masyarakat tidak sepatutnya menganggap semua 1.61 juta penjawat awam terlibat dengan kegiatan rasuah hanya kerana tindakan segelintir individu, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Merujuk kepada penahanan seorang pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan di Sabah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, beliau berkata ia adalah kes terpencil dan hampir semua penjawat yang lain mempunyai integriti.

Katanya kerajaan sentiasa mengadakan program untuk meningkatkan integriti pegawai sejak mereka dilantik dalam perkhidmatan dan sentiasa diberikan peringatan sama ada di peringkat atasan mahupun gred yang paling rendah.

"Kita ada 1.61 juta penjawat awam yang hampir semuanya adalah pegawai berintegriti, janganlah kita samakan tangkapan ini sebagai implikasi keseluruhan kepada penjawat awam," katanya kepada pemberita pada Seminar Pendidikan Generasi Muda: Teknik-teknik Menjawab Soalan Peperiksaan, di sini Ahad.

Pada Rabu lepas, SPRM merampas RM114.5 juta daripada dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah, yang merupakan kes terbesar dalam sejarah SPRM.

Mengulas mengenai seminar anjuran Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam (Puspanita) itu, Ali berkata seminar itu melibatkan 350 pelajar dari sekitar Putrajaya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada majlis itu, Puspanita turut menyampaikan sumbangan RM2,000 setiap sebuah sekolah kepada 25 sekolah di sini untuk membeli peralatan sukan, sempena Hari Sukan Negara 2016 yang disambut semalam.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA