Janet Jackson Berpakaian Menutup Aurat Sejak Hamil



BUAT pertama kalinya penyanyi popular, Janet Jackson, 50, dilihat di khalayak ramai sejak mengumumkan kehamilannya serta berpakaian menutup aurat lapor mirror.co.uk.

Bintang itu dipercayai telah memeluk Islam selepas berkahwin dengan jutawan dari Qatar, Wissam Al Manna, 41, pada tahun 2012.

Di dalam gambar tersebut, pasangan tersebut kelihatan tenang dan gembira ketika membeli-belah di London awal minggu ini.

Janet yang akan menjadi ibu buat pertama kali kelihatan mengusap perutnya serta jalan berpegangan tangan bersama suaminya itu.

Mereka dilihat sedang mencari pakaian kanak-kanak di sebuah butik mewah sebelum berhenti untuk makan tengah hari di sebuah restoran makanan sihat.

Penyanyi itu mempunyai rekod jualan album lebih dari 100 juta album sebelum ini serta dianggap sebagai salah seorang artis solo wanita paling berjaya sepanjang zaman.

Beliau juga pernah berkahwin sebanyak dua kali sebelum bertemu dengan suaminya kini.

Sebelum ini terdapat banyak spekulasi mengenai berita kehamilannya pada April lalu apabila dia menangguhkan konsert jelajahnya.

Namun, Janet bertindak mendiamkan dirinya sehinggalah awal bulan ini.

“ Saya dan suami merancang keluarga kami dan kami bersyukur dengan anugerah tuhan yang tidak ternilai ini,” katanya kepada majalah People.

Al-Manna dikatakan menjadi sokongan terbesar buat Janet apabila dia diberitahu mengenai kehamilannya.

Pasangan tersebut bertemu pada tahun 2010 bagaimanapun berjaya menyorokkan hubungan mereka dari khalayak ramai sehinggalah setahun selepas mereka berkahwin. Kini, mereka tinggal di negara asal suaminya, Doha, Qatar.

-Sinar Harian

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA