Jambatan Igan Tidak Pernah Di Tangguhkan



KUCHING: Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof menegaskan bahawa projek pembinaan Jambatan Igan tidak pernah ditangguhkan tetapi mengalami kelewatan dalam pelaksanaannya kerana tapak jambatan perlu dipindahkan ke tapak baru berhampiran Kampung Igan.

Menurutnya, semasa Makmal Pengurusan Nilai (Value Assessment Lab) anjuran UPE diadakan pada 18 – 21 Julai 2016 di Kuching, wakil daripada Pejabat Daerah Matu telah membangkitkan permintaan penduduk setempat supaya mendapat akses kepada jambatan tersebut.

“Disebabkan permintaan penduduk setempat, maka Makmal telah memutuskan supaya tapak jambatan dipindahkan daripada tapak asal ke tapak berhampiran jeti feri Kampung Igan,” jelasnya dalam satu kenyataan media.

Tambah Fadillah, pemindahan tapak cadangan jambatan Batang Igan akan melewatkan pelaksanaan projek jambatan tersebut kerana kerja-kerja awalan seperti ukur tanah dan ukur hidrografik, penyiasatan tanah (soil investigation), rekabentuk struktur jambatan, dan lain-lain perlu dibuat semula; dan proses untuk melaksanakan kerja-kerja awalan akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun.

Jelasnya, atas faktor tersebut, projek pembinaan Jambatan Batang Igan tidak dapat bermula pada awal tahun 2017 seperti perancangan asal tetapi perlu dibuat semula kerja-kerja awalan di tapak baru yang mengambil masa tidak kurang daripada satu tahun.

“Ini bermakna bahawa pembinaan jambatan ini akan hanya dapat bermula pada awal tahun 2018.

“Surat rayuan kepada UPE juga sedang disediakan oleh pihak kementerian untuk menimbang semula keputusan MPN supaya tidak melewatkan pelaksanaan projek pembinaan tambatan tersebut,” ujarnya.

Fadillah memaklumkan bahawa projek Jambatan Batang Igan baru sahaja diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE) pada 23 Februari 2016 setelah surat rayuannya bertarikh 24 November 2015 diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri telah mendapat kelulusan tapak jambatan lebih awal lagi daripada Unit Perancangan Negeri (SPA) bagi membina jambatan (Batang Igan) itu sepanjang lebih kurang tujuh hingga lapan kilometer ke hulu Kampung Igan dan kerja awalan termasuk reka bentuk jambatan telah siap,” tambahnya.

Selain itu, Fadillah turut memaklumkan tiga jambatan pada asalnya tidak diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) iaitu Jambatan Sungai Rambungan, Jambatan Batang Igan dan Jejambat (Flyover) Bintulu namun setelah rayuan dibuat ia telah diluluskan untuk pelaksanaan.

“Ini adalah selain daripada projek Jambatan Batang Lupar dengan kos RM1 bilion yang merupakan Akujanji Perdana Menteri semasa lawatan ke Jambatan Batang Sadong dan Bintulu pada 31 Januari 2016,” katanya.

Fadillah memberitahu bahawa projek Jambatan Batang Sadong telah diluluskan oleh UPE pada 2011 setelah lawatan Perdana Menteri ke Sadong Jaya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-10 pada 2011.

“Manakala bagi projek Jambatan Batang Samarahan ia juga telah diluluskan oleh UPE di bawah RMK10 pada 2013. Justeru, ia dapat dilaksanakan lebih awal berbanding projek Jambatan Batang Igan yang diluluskan UPE di bawah RMK11 iaitu pada 2016,” ujarnya.

Antara projek lain yang diluluskan di bawah Kementerian Kerja Raya sejak 2014 termasuk naik taraf jalan dari pasar raya Emart ke Matang, Stapok berjumlah RM145 juta, naik taraf Jalan Kuching-Serian dari Batu 10-Batu 15 (RM80 juta), naik taraf jalan dari Tanjung Kidurong ke Taman Perindustrian Samalaju Bintulu (RM144 juta), projek membina 22 lorong memotong sepanjang Jalan Kuching ke Miri (RM220 juta) serta projek menaik taraf jalan dari simpang Nyabau ke simpang Bakun Bintulu (RM637.5 juta). - Sarawakiana 

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA