Jambatan Igan: Juanda Hargai Usaha Keras Fadillah

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya melahirkan penghargaan atas keperihatinan serta sokongan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof kepada projek Jambatan Igan.

Menurutnya, Fadillah telah berusaha kuat untuk memastikan projek tersebut dapat disegerakan.

“Menteri Kerja Raya ternyata telah berusaha keras dengan merayu kepada Perdana Menteri akhir tahun lalu,dan ianya telah membuahkan hasil sebenarnya hanya pada awal tahun 2016,” katanya menerusi akaun Facebook hari ini.

Beliau berharap penduduk kampung Igan, penduduk kawasan N44 Jemoreng dan N43 Daro yang akan menjadi pengguna utama Jambatan Batang Igan agar memahami proses yang sedang berjalan.

“Ya, kehidupan penduduk di kawasan Matu Daro adalah umpama di atas sebuah pulau. Segala pergerakan keluar masuk memerlukan feri selagi Jambatan tidak dibuat,” ujarnya

Jelasnya lagi, anggapan sebahagian penduduk kampung dan kawasan bahawa projek ini telah diluluskan bajetnya sejak lebih 10 tahun yang lalu nyata meleset.

Tambahnya, setiap projek yang akan berjalan dan take off hanya akan dilaksanakan bila bajet itu benar-benar telah diluluskan oleh pihak kerajaan, bukannya diluluskan oleh sembang sembang kosong di kedai kopi.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Kementerian Kerja Raya yang menafikan projek itu ditangguhkan.

"Projek Jambatan Igan tidak pernah ditangguhkan, sebaliknya kelewatan yang berlaku disebabkan perubahan tapak asas projek tersebut," kata Kementerian Kerja Raya dalam satu kenyataan lewat petang semalam.

Pada Sabtu Dr Juanda meluahkan kekecewaannya di Facebook terhadap kelewatan projek Jambatan Igan yang akan memulakan kerja-kerja pembinaan pada awal 2018. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA