JAKIM Tidak Pernah Haramkan Produk Auntie Anne's - Asyraf

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan pensijilan halal adalah bersifat sukarela oleh entiti yang memohon.

Ujar beliau, pensijilan halal ini membantu untuk memberi nilai tambah dan membantu meningkatkan keuntungan.

"Tidak timbul soal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hendak mengharamkan produk Auntie Anne's seperti yang dihebahkan melalui akaun palsu di media sosial,

"Tetapi masalahnya apabila isu ini dispekulasi seterusnya mencorakkan perspektif yang tidak betul terhadap apa yang telah dilaksanakan oleh JAKIM.

"Tetapi jika ingin mendapatkan pensijilan perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan dan permohonan tersebut masih di dalam peringkat pertimbangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dibangkitkan ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Asyraf lagi, prinsip utama pensijilan bukan sahaja halal dari segi syariat tetapi mengikut konsep 'toyyibah' iaitu baik dari pelbagai segi termasuk penjenamaannya juga.

"Pensijilan Halal Auntie Anne's masih dalam proses pertimbangan dan masih ada budi bicara dalam perkara ini.

"Ini bukan bermaksud JAKIM mengharamkan produk tersebut. Sebaliknya sebagai penambahbaikan panduan yang memberikan penekanan kepada aspek toyyibah iaitu antaranya istilah-istilah yang boleh meragukan, yang boleh mendatangkan kemudaratan dari segi kekeliruan dan sensitiviti kepada masyarakat Islam," jelasnya lagi.

Walaubagaimanapun, Asyraf menjelaskan masih terdapat ruang budi bicara untuk perkara tersebut diperbincangkan. - KLXpress

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA