Jakim Nafi Produk Kari Baba’s, Alagappa’s Tidak Suci

Jakim Nafi Produk Kari Baba's, Alagappa's Tidak Suci
PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan penyebaran isu viral menerusi media sosial konon dua serbuk kari popular tempatan mengandungi bahan yang tidak bersih.

Bahagian Hab Halal Jakim menjelaskan produk-produk kari popular Baba’s dan Alagappa’s yang didakwa netizen berkenaan sebenarnya disahkan tidak mengandungi “najis lembu, serbuk papan, tisu dan surat khabar.”

Is susulan penyebaran luas seperti imej yang dikepilkan menerusi laman Facebook Jakim dengan huruf besar mendakwa ‘tidak benar!!!’ ustaz tertentu telah menyemak amalan tidak suci di kilang mereka di Pulau Pinang.

Viral hebahan sebaran palsu itu cuba memburukkan dua jenama tersebut, yang dimiliki usahawan bukan Islam, dengan seruan agar pengguna Muslim perlu bertukar kepada produk halalan toyyiban keluaran Bumiputera.

Untuk menakutkan lagi pengguna beragama Islam, sebaran fitnah itu mendakwa 40 peratus daripada keuntungan produk syarikat-syarikat tersebut konon turut disalurkan kepada sebuah kuil Hindu di Batu Caves, Selangor.

Jakim menjelaskan maklumat tersebut ‘tidak benar’ dan ‘tidak berasas sama sekali’ kerana produk-produk Baba’s dan Alagappa’s memang merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang masih lagi sah.

“Proses pengeluaran SPHM telah mengambil kira setiap ramuan dan proses yang berkaitan di dalam pengeluaran sesuatu produk dengan teliti oleh pakar syariah dan juga teknologi makanan,” jelas kenyataan jabatan tersebut lagi.

Lebih menghairankan, kadang-kadang Bahagian Hab Halal Jakim masih lagi berdepan dengan banyak isu serupa yang sebenarnya pernah disebarkan sebelumnya dan melibatkan pelbagai produk jenama terkenal di negara ini.

Semalam, bahagian itu terpaksa menjelaskan isu produk kiub daging babi jenama terkenal Knorr, yang menjadi viral, apabila menjelaskan ia tidak pernah dikilangkan di Malaysia malah tidak ada pun di pasaran tempatan.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa produk [bukan babi] jenama Knorr yang dikilangkan Unilever Foods (Malaysia) Sdn. Bhd. masih mempunyai SPHM yang diperakui sah hingga kini,” katanya menerusi laman Facebook tersebut.

Selain menjawab pelbagai sebaran maklumat palsu, Jakim juga mengulas perkembangan semasa termasuk paling baharu dan panas isu burger babi kontroversi ‘P. Ramly’ yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan kelmarin.

Jabatan itu mengingatkan semua pengguna Islam agar lebih “berhati-hati ketika memilih premis makanan yang ingin dikunjungi dan bersifat peka dengan segala info promosi sebarang premis yang boleh mengelirukan.”

Mengulas lanjut isu fitnah terhadap dua produk kari terkenal itu, Jakim menyeru masyarakat Islam agar ‘lebih bijak dan sensitif’ apabila menerima sesuatu maklumat diragui kesahihannya sebelum menyebarkan kepada yang lain.

“Jangan mempercayai maklumat yang tidak disahkan pihak Jakim, serta perlu menyelidiki terlebih dahulu sebelum menyebarkan maklumat tersebut,” kata kenyataan bahagian tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA