Isey Tidak Tertekan '3 Juara' Bersaing Dengan 'Gegar Vaganza'


Pelawak dan pengacara Isey berkata, dia tidak meletakkan sebarang tekanan dalam mengendalikan program realiti 3 Juara ketika rancangan itu turut bersaing dalam merebut jumlah penonton dengan Gegar Vaganza 3.

Isey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin, 29, berkata, 3 Juara merupakan program realiti yang masih baharu terbitan TV3, jika dibandingkan dengan GV3 siaran Astro yang sememangnya sudah mempunyai pengikut tersendiri.

"Saya tidak letak sebarang tekanan untuk bersaing dan menarik perhatian penonton untuk menonton 3 Juara.

"Kami buat sebaik mungkin dan tidak mahu letak beban yang hanya membuatkan kami menjadi tertekan sahaja.

"Apa yang penting ialah fokus memberi penyampaian terbaik setiap minggu," ujarnya.

Isey mengendalikan program 3 Juara bersama Mira Filzah dan Ammar Titan yang berlangsung setiap Ahad pukul 9 malam.

Dalam pada itu, Isey mengakui masih berasa gementar setiap kali mula bersiaran biarpun sudah mempunyai pengalaman mengendalikan rancangan siaran langsungMentor Milenia.

Katanya, banyak perkara yang perlu dititik beratkan ketika bersiaran secara langsung terutamanya kata-kata yang boleh menyentuh perasaan dan sensitiviti masyarakat.

"Saya memang ada pengalaman jika bersiaran langsung perasaan gementar sudah tentu ada kerana banyak yang peru dijaga.

"Kita tidak mahu ada perkara terlepas cakap yang boleh menimbulkan masalah pula. Sebab itu kami akan buat latihan secukupnya sebelum mula bersiaran," ujarnya.

Tambahnya, mereka mula mendapat keserasian pada konsert kedua malam Ahad lalu.

Dalam pada itu, bercerita tentang perkembangan kerjaya, Isey bersyukur apabila sentiasa diberi peluang untuk meningkatkan kerjayanya dalam bidang penyiaran.

Dia juga tidak mahu mengsia-siakan kepercayaan yang diberikan dan berusaha untuk memberikan yang terbaik.

"Alhamdulillah, daripada segi peningkatan kerjaya saya bersyukur diberi peluang yang banyak termasuk menjadi penyampai radio di Hot FM untuk segmen Jejaka Dia pukul 4 hingga 6 petang.

"Saya juga baru sahaja balik dari Jepun kerana terlibat dalam sitkom JKKK kampung bersama Jep Sepahtu, Ebby Yus, dan Sari Yanti. Sitkom akan bersiaran tidak lama lagi," ujarnya.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA