Idris Jusoh: 76.1% Graduan Telah Bekerja


KUALA LUMPUR - Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2015 yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) semasa konvokesyen mendapati sebanyak 76.1% graduan telah bekerja.

Dapatan kajian juga mengenalpasti antara alasan mereka yang masih belum bekerja adalah seperti berikut:

a. sedang mencari pekerjaan

b. menunggu penempatan untuk sambung belajar

c. komitmen menjaga keluarga

d. tawaran kerja tidak sesuai dengan kelulusan

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya lagi, KPT juga sedang melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

"Melalui program CEO@Faculty, pelajar-pelajar juga didedahkan dengan perkongsian pengalaman dan kemahiran kolaborasi antara akademia dan pihak industri, melalui syarahan dan slot interaksi dengan pelbagai tokoh seperti Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara; Tan Sri Tony Fernandes, CEO Air Asia Group dan Tan Sri Johan Jaafar, Chairman Nobel International School.

"Pelaksanaan Integrated Cumulative Grade Point Average (iCGPA) pada tahun 2015 di 5 buah universiti awam (UA) dan dalam fasa 2 akan melibatkan penyertaan 15 buah UA pada September 2016.

"Selain itu, pelaksanaan program 2u2i dan 3u1i iaitu program 2 atau 3 tahun di universiti dan selebihnya di industri juga dilaksanakan oleh KPT. Pengalaman praktikal ini pastinya akan dapat membantu pelajar terutamanya dalam membangunkan kemahiran khusus yang diperlukan oleh sektor industri melalui nilai tambah dan memperkukuhkan kemahiran asas pekerjaan," jelasnya.

Selain itu kata Idris langkah lain yang diperkenalkan termasuklah Rangka Kerja Penjana Pekerjaan (Job Creator Framework) bertujuan untuk mengubah minda graduan daripada job seeker kepada job creator.

Antara program yang telah dilaksanakan ujar beliau adalah siswapreneur di mana mahasiswa berpeluang berniaga di dalam dan luar kampus.

"Beberapa program berkaitan dengan kerjasama PUNB, TERAJU, MTDC dan lain-lain agensi kerajaan turut diadakan secara berterusan.

"Hasil pelaksanaan program ini menunjukkan peningkatan pelajar dalam aktiviti keusahawanan IPT sebanyak 20% dari tahun 2011 kepada lebih 50% tahun 2015," katanya.

Beliau menjawab soalan daripada Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (Parit) pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan.

Di samping itu katanya, KPT juga telah melaksanakan program Pusat Kecemerlangan Industri bagi meningkatkan kolaborasi antara IPT dengan pihak industri melalui pembangunan kurikulum, latihan industri dan pendedahan industri kepada pelajar dan tenaga pengajar IPT.

"Program ini merupakan kaedah pendedahan secara hands-on, soft skill dan hard skill kepada pelajar dan tenaga pengajar mengikut kehendak khusus dari pihak industri.

"Pencapaian pelajar dalam profisiensi Bahasa Inggeris bagi kemasukan ke universiti awam pada tahun 2016 bagi band 4 dan ke atas dalam ujian Malaysian University English Test (MUET) telah meningkat sebanyak 18.01% berbanding tahun 2015.

"KPT berkeyakinan bahawa melalui program-program yang diperkenalkan ini, para pelajar akan dapat meningkatkan penguasaan soft skills, pengetahuan serta sikap yang sesuai untuk bekerja, selain daripada mempunyai keyakinan untuk menceburi bidang keusahawanan dan seterusnya akan dapat mengelakkan pengangguran di kalangan pelajar secara berterusan pada masa-masa akan datang," katanya. - KLXpress

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA