Hutang Negara Kekal Terurus – PM


KUALA LUMPUR - Kedudukan hutang kerajaan Persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan se­derhana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, namun begitu kerajaan terus komited untuk memastikan paras hutang negara tidak melebihi 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi tujuan itu langkah konsolidasi fiskal akan terus diamalkan bagi mengurangkan paras defisit secara berpe­ringkat.

“Hutang yang dibuat oleh kerajaan itu adalah bertujuan membia­yai defisit berikutan kekurangan hasil bagi menampung perbelanjaan pembangunan.

“Pinjaman yang dibuat untuk membiayai perbelanjaan pemba­ngunan adalah perbelanjaan yang produktif dan dapat menyokong pertumbuhan ekonomi serta memanfaatkan rakyat seperti pembinaan sekolah, hospital, jalan raya serta empangan dan secara tidak langsung memberi manfaat kepada sektor swasta melaksanakan pelbagai program dan aktiviti ekonomi,” katanya menjawab pertanyaan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun (BN-Kota Tinggi) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri memberi­ta­hu, kedudukan terkini jumlah hutang kerajaan Persekutuan pada akhir Jun 2016 adalah sebanyak RM655.7 bilion.

Kata beliau, daripada jumlah tersebut 95.9 peratus atau RM628.8 bilion adalah hutang domestik manakala RM26.9 bi­lion adalah merupakan pinjaman luar pesisir.

Menjawab soalan tambahan Noor Ehsanuddin, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mengambil beberapa langkah untuk memastikan perbelanjaan mengurus tidak melebihi daripada hasil bagi mengelak kadar hutang negara meningkat.

Selain itu Najib berkata, kerajaan mesti menentukan bahawa pinjaman itu digunakan untuk mengembangkan ekonomi, menambahkan lagi kegiatan ekonomi negara di samping memberi keutamaan kepada pinjaman dalam negeri.

“Dengan langkah-langkah sedemikian termasuk juga perbelanjaan yang berhemat, cekap dan berkesan serta mementingkan hasil yang berkesan, insya-Allah kita dapat menguruskan hutang negara dalam keadaan yang tepat,” katanya. - Utusan Online

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA