Hutan Di Gunung Seraik Terbakar


KUCHING: Kebakaran di kawasan hutan seluas 10 ekar di Gunung Seraik di Kampung Bako berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas pasukan bomba berhempas pulas lebih tiga jam semalam.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, lapan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya bergegas ke lokasi susulan menerima panggilan kecemasan jam 12.38 tengah hari.

Pasukan itu turut disertai empat ahli Bomba Sukarela Bako yang diketuai Noh Yahim.

“Kebakaran yang tidak diduga ketika (Pegawai Operasi Negeri) PKPgB Zulkhairani Ramli membuat urusan peribadi di Kampung Bako sempena cuti umum mendorong beliau membuat panggilan kecemasan ke PGO sekali gus mengetuai operasi operasi tersebut.

“Setibanya di lokasi didapati kebakaran melibatkan kebakaran hutan seluas enam ekar dan anggota bomba bertindak menggunakan ‘floating pump’ dan pam angkut serta sejumlah hos untuk memadamkan kebakaran tersebut dengan menggunakan sumber air terbuka,” katanya.

Pasukan bomba membentang hos sejauh 1,000 kaki untuk memadamkan kebakaran itu menggunakan sumber air terbuka sejauh 100 kaki dari pam angkut di kawasan yang ketinggiannya adalah 450 kaki dari aras laut.

“Operasi pemadaman berjaya dilakukan dan saiz keluasan kebakaran keseluruhan yang terbakar adalah 10 ekar,” katanya.

Kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada jam 4.48 petang.

Difahamkan, tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan dalam operasi tersebut.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA