Hubungan Malaysia-Brunei Pada Tahap Terbaik


PUTRAJAYA - Pemimpin Malaysia dan Brunei bersempena Perundingan Pemimpin Tahunan Ke-20 Malaysia dan Brunei pada Selasa, telah menggambarkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara 'berada pada tahap terbaik'.

Dalam kenyataan dikeluarkan Wisma Putra menyebut rundingan bersama antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berlangsung dalam suasana yang mesra dan konstruktif.

"Kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu dua hala," menurut kenyataan tersebut sambil menambah, ia turut membincangkan mengenai pelaksanaan Pertukaran Surat yang ditandatangani oleh pemimpin Malaysia dan Brunei pada 16 Mac 2009.

Wisma Putra juga menyebut kedua pemimpin turut membincangkan kepentingan untuk menambah baik hubungan antara Malaysia dan Brunei menerusi projek Lebuh Raya Pan Borneo.

"Mereka menggesa perbincangan rasmi diadakan bagi membincangkan aspek teknikal projek Lebuh Raya Pan Borneo itu.

"Mereka juga bersetuju untuk menambah baik dan memudahkan prosedur imigresen di pusat pemeriksaan sempadan antara kedua-dua negara bagi melancarkan laluan antara Malaysia dan Brunei.

Wisma Putra turut memberitahu Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah menyambut baik pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Brunei untuk bekerjasama dalam bidang teknologi hijau.

"Kedua-dua pemimpin turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa membabitkan kepentingan bersama," katanya lagi.

Perundingan Pemimpin Tahunan ini merupakan platform peringkat tertinggi dan acara penting dalam kalender tahunan bagi kedua-dua negara.

Perundingan Pemimpin Tahunan ke-19 diadakan di Bandar Seri Begawan pada 11 Ogos 2015. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA