Hubungan Dengan China Tak Jadikan Malaysia Terhutang Budi


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini menafikan Malaysia terhutang budi dengan China hingga sanggup menggadaikan kedaulatan walaupun republik itu adalah rakan dagang terbesar negara.

Walaupun Malaysia mempunyai hubungan ekonomi yang kukuh dengan China, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan wilayah, termasuk jika berlaku pencerobohan perairan di Laut China Selatan.

"Kita berpegang teguh kepada prinsip mempertahankan kedaulatan Malaysia walaupun pendekatan kita tidak menimbulkan kontroversi.

"Prinsip kita tegas. Dalam soal kedaulatan negara kita tidak akan berkompromi," katanya ketika menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Nurul Izzah bertanya apakah langkah Malaysia apabila berdepan dengan pencerobohan tentera China di perairan negara khasnya di kawasan tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

Terdahulu ketika menjawab soalan Datuk Hasan Arifin (BN-Rompin) mengenai tindakan Malaysia terhadap kependudukan China di Kepulauan Spratly dalam isu perebutan kedaulatan di Laut China Selatan, Najib berkata, Malaysia menangani isu berkenaan menerusi dialog atau rundingan.

Bagi memastikan keamanan, kestabilan dan mengelak ketegangan di Laut China Selatan, Perdana Menteri berkata, negara ASEAN dan China menandatangani Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DOC) dan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC).

"DOC dan COC yang diusahakan ASEAN serta China bukan instrumen menyelesaikan tuntutan bertindih di Laut China Selatan tetapi mekanisme bagi mengelak ketegangan antara pihak bertelingkah.

"Malaysia berpendirian isu tuntutan bertindih ini perlu diselesaikan secara aman berdasarkan undang-undang antarabangsa khasnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982," katanya. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA