Hospital Petra Jaya Dijangka Siap Jun 2017

KOTA SAMARAHAN, 12 Okt (Bernama) -- Pembinaan Hospital Petra Jaya di Kuching lewat 36 peratus daripada tempoh siap yang dijadualkan sebelum ini, dan dijangka hanya disiapkan pada 9 Jun tahun depan berbanding jadual asal November tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim berkata alasan yang diberi pihak kontraktor adalah disebabkan kekurangan tenaga pekerja.

"Pihak kontraktor berjanji akan menambah bilangan pekerja dan menyiapkan projek berkenaan mengikut tarikh baharu yang telah ditetapkan," kata Dr Jamilah, dan menambah, kontraktor terlibat telah didenda atas kelewatan yang berlaku.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen 2016 Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Zon Sarawak yang disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Jamilah berkata projek Hospital Sri Aman dan Hospital Lawas yang baharu sedang dalam proses pembinaan.

Katanya Hospital Sri Aman dijangka disiapkan mengikut jadual manakala Hospital Lawas bakal memulakan pembinaan fasa 2B, iaitu pembinaan bangunan selepas peruntukan tambahan sebanyak RM22 juta diluluskan.

Mengenai cadangan projek pembinaan tempat letak kereta bertingkat di Hospital Umum Sarawak (HUS), Dr Jamilah berkata ia kini di peringkat perjanjian konsesi dan akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

"Kita berharap menjelang tahun depan projek ini dapat dimulakan dan kos pembinaan masih sama, iaitu RM378 juta," katanya.

Sementara itu, Dr Hilmi pada sidang media yang sama menyatakan komitmen kerajaan melalui Kementerian Kesihatan akan menekankan kesemua isu terbabit pada persidangan Parlimen akan datang.

Katanya isu tempat letak kereta bertingkat di HUS sudah sekian lama dibangkitkan maka ia harus dipercepatkan kerana semakin lama ditangguh akan menyebabkan kos pembinaannya meningkat.

"Ini pastinya mendatangkan bukan sahaja kerugian kepada kerajaan tetapi juga kepada rakyat," katanya. -- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA