Histeria Kali Kedua!


BANGI: Beberapa pelajar lelaki yang mengalami histeria berlari ke kawasan padang sekolah sebelum berjaya ditenteramkan guru yang mengekori mereka.

Itu antara kejadian berlaku selepas Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi (SMKBBB), di sini, sekali lagi diserang kejadian histeria, pagi semalam.

Dalam kejadian terbaru jam 8 pagi semalam, seramai 130 pelajar sedang mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat di dataran sekolah sebelum beberapa pelajar perempuan mula menjerit dan meronta.

Sumber berkata, keadaan bagaimanapun kembali terkawal selepas semua pelajar dikumpulkan sambil diperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran.

“Susulan itu, pihak sekolah terpaksa menangguhkan sesi persekolahan dan mengarahkan semua pelajar pulang ke rumah.

“Pihak sekolah juga turut membuat hebahan melalui aplikasi media sosial memaklumkan supaya ibu bapa hadir ke sekolah mengambil anak masing-masing berikutan keadaan di sekolah berkenaan masih belum stabil,” katanya.

Kejadian semalam adalah insiden kali kedua berlaku selepas sekumpulan pelajar tingkatan empat mengalami histeria pada jam 9 pagi Jumaat lalu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Nor Hisham Abdullah berkata, kejadian menular kepada pelajar tingkatan tiga dan lima.

“Kakitangan sekolah membawa pelajar yang terbabit ke dewan sebelum situasi kembali terkawal jam 1 tengah hari,” katanya.

Sementara itu tinjauan wartawan Harian Metro di luar pekarangan sekolah berkenaan tengah hari semalam mendapati, pelajar masih berkumpul di dataran sementara menunggu ketibaan ibu bapa masing-masing.

Dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Balai Polis Bandar Baru Bangi turut berada di sekolah berkenaan bagi memantau sekiranya terjadi kejadian di luar kawalan.

Difahamkan, beberapa pengamal perubatan Islam turut berada di sekolah itu bagi membantu merawat pelajar yang diserang histeria.

Keadaan pulih sepenuhnya dan semua pelajar dilihat meninggalkan kawasan sekolah pada jam 1 petang manakala pembelajaran pada sesi petang terpaksa ditangguhkan.

Sementara itu, Harian Metro dimaklumkan, pihak sekolah akan mengadakan Majlis Zikir Darul Syifa pada malam Jumaat ini.

Pada majlis itu akan diadakan majlis bacaan Yasin, zikir dan rukyah dibimbing pengurusan Darul Syifa susulan masalah yang dialami sekolah berkenaan.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA