Hishammuddin Arah Panglima TUDM Siasat Nuri Mendarat Cemas Di Tawau


KUALA LUMPUR: 
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengarahkan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyiasat insiden helikopter Nuri miliknya terhempas semasa cuba mendarat cemas di atas bumbung Pusat Kemahiran Hidup, Sekolah Menengah Kebangsaan Balung, Tawau, Sabah, hari ini.

"Saya telah mengarahkan Panglima Tentera Udara (PTU) Jen Tan Sri Roslan Saad sendiri pantau siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian di Tawau.

"Timbalan saya (Datuk) Johari Baharum dan PTU akan bersama (Menteri Belia dan Sukan Sabah) YB (Datuk) Tawfiq Abu Bakar Titingan (Ketua UMNO Bahagian Tawau) untuk meninjau kawasan kejadian dan berjumpa dengan pengurusan & murid-murid SMK Balung, Tawau," katanya dalam laman Facebook rasmi beliau.

Hishammuddin juga melahirkan rasa syukur kerana semua anak kapal dan penumpang helikopter berkenaan selamat.

Dalam kejadian pada 9.45 pagi tadi, seramai 14 anggota tentera cedera dan dibawa ke Hospital Tawau selepas sebuah helikopter Nuri milik TUDM terhempas semasa cuba mendarat cemas di atas bumbung sekolah itu.

Lima pelajar sekolah itu turut cedera.- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA