Hilang 20 Jam, Kapal Bawa Muatan Sawit Dijumpai Semula


BINTULU: Sebuah kapal tunda dan baj dilaporkan hilang selama 20 jam yang membawa muatan minyak sawit bernilai RM14.99 juta berjaya dijumpai semula di Perairan Bintulu, di sini petang semalam.

Kapal tunda, Ever Ocean dan baj Ever Giant itu ditemui pasukan penyelamat diketuai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira 30 batu nautika antara Bintulu dan Mukah pada jam 3.25 petang semalam .

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam kelmarin , kapal dan baj tersebut dalam perjalanan menghantar 2,499 tan metrik minyak sawit dari Lahad Datu, Sabah ke Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun, sebaik memasuki Perairan Bintulu, kapal tunda dan baj berkenaan dipintas sekumpulan individu menaiki bot laju sebelum bertindak merampas kedua-dua aset berkenaan dalam kejadian jam 8.30 malam kelmarin.

Menurut Pengarah Daerah Maritim 12 Bintulu Kapten Maritim Aminuddin Abdul Rashid, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sejurus laporan diterima mengenai kehilangan terbabit di 62 batu nautika dari Pelabuhan Bintulu.

10 krew, termasuk seorang kapten kapal ditemui di 30 batu nautika dari Pelabuhan Bintulu dalam keadaan selamat, namun mengalami trauma susulan insiden rompakan oleh kumpulan bersenjata ke atas mereka, dipercayai lanun.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari anak kapal, kesemua barangan berharga dan wang tunai dilarikan.

Bagaimanapun, muatan minyak sawit berkenaan tidak dilarikan.

Kedua-dua kapal tunda dan baj berkenaan kemudian dibawa ke Pelabuhan Bintulu untuk siasatan lanjut bagi mengenalpasti motif kejadian.

Ini merupakan insiden kedua dialami oleh syarikat perkapalan yang sama selepas kes pertama berlaku di Tanjung Kidurong, Bintulu 3 Julai lalu.-Sarawakiana


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA