Helah keluarkan wang secara ghaib


Surabaya: Helah ketua sebuah kumpulan agama, Dimas Kanjeng Taat Pribadi kononnya dia mampu mengeluarkan wang secara ghaib terbongkar selepas polis menemui poket rahsia di jubah yang sering dipakai lelaki itu.

Poket rahsia itu ditemui selepas polis merampas tiga helai jubah yang sering dipakai Dimas yang ditahan kerana dipercayai menipu dan membunuh dua pengikutnya.

Jurucakap polis Jawa Timur, Cecep Ibrahim berkata, pihaknya menyita dua jubah hitam dan satu jubah hijau.

“Semua jubah ini mempunyai poket rahsia dan kami syaki dia mengeluarkan wang yang disembunyikan di dalam poket ini ketika upacara menggandakan wang.

“Saya anggarkan setiap poket ini boleh menyimpan wang sebanyak Rp50 juta (RM15,852),” katanya.

Cecep memberitahu, polis pernah memintas Dimas mengeluarkan wang secara ghaib ketika di penjara tetapi dia enggan berbuat demikian.

“Alasan diberikannya, jin miliknya melarikan diri selepas dia ditangkap polis,” jelasnya.

Dimas adalah pemimpin sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Padepokan Dimas Kanjeng dan ramai pengikutnya percaya dia mempunyai kuasa luar biasa.

Dia ditangkap pada 22 September lalu kerana memperdayakan beberapa mangsa untuk mendapatkan wang dan membunuh dua pengikutnya yang menjadi saksi polis. - Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA