Hasrat Bapa Hidap Kanser Tahap Akhir Tertunai


KUALA LUMPUR: Satu status Facebook viral pada Sabtu lalu menunjukkan salah seorang ahli keluarga Mohd Raitul Afthal Zainal Abidin, 27, meminta bantuan orang ramai mengesan anak dan bekas isterinya.

Selepas beberapa ketika status tersebut dimuat naik, ia mula mendapat perhatian netizen dan dikongsi melebihi 37 ribu kali sehingga berjaya menemukan Raitul dengan anak dan bekas isterinya.

Hasrat Raitul yang juga merupakan seorang pesakit kanser tahap empat yang sedang bertarung nyawa untuk bertemu dua orang anaknya termakbul, lewat petang semalam.

Bekas isterinya, Aida Kosma Ahmad tiba bersama dua anaknya, Muhammad Raykal Hakimi, 6, dan Aina Rayshah, 3, di Kuarters Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Difahamkan, anaknya lelakinya, Raykal juga merupakan pesakit yang menghidap kanser hati.

Isteri Raitul, Siti Norsyahirah Abdullah, 23, memberitahu bahawa dia bersyukur impian suaminya yang dalam keadaan kritikal tertunai.

“Dia memang sudah lama ingin bertemu dengan anak sulungnya sebelum dia sakit lagi.

“Semoga dengan pertemuan ini dia bersemangat untuk melawan penyakitnya sambil menantikan anak bongsunya yang masih dalam kandungan,” katanya kepada Harian Metro.

Ketika berjumpa dengan anaknya, Raitul kelihatan gembira dan segera megusap kepala anaknya walaupun lemah akibat daripada kesan pengambilan ubat. -MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA