Hanya Pemimpin Tidak Bertanggungjawab Akan Tolak #Bajet2017 – Nancy

KUCHING: Pemimpin yang menolak Bajet 2017 jelas menunjukkan sifat tidak bertanggungjawab mereka terhadap rakyat, sedangkan sesebuah kerajaan yang komited terhadap rakyat akan sentiasa perlu merancang sumber pendapatan dan juga perbelanjaan mengikut keperluan rakyatnya dalam apa juga keadaan.

Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Sri Nancy Shukri berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pemimpin pembangkang Sarawak agar seramai 25 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari negeri ini sepakat untuk menolak Bajet 2017 yang dibentang Perdana Menteri pada Jumaat lepas.

Menurutnya, Bajet merupakan komitmen kerajaan terhadap rakyatnya, setiap perbelanjaan perlu dirancang supaya program-program serta perancangan kerajaan untuk rakyat dapat diteruskan.

“Pembangkang yang menolak bajet menampak betul sikap tidak bertanggungjawab mereka. Saya berkata demikian kerana mereka tidak “walk the talk".

“Mengkritik dan menolak bajet, pada masa yang sama merungut tentang serba kekurangan dalam negara, adakah itu menunjukkan pemimpin yang bertanggungjawab?,” katanya ketika dihubungi Sarawakiana semalam.

Nancy memberitahu, segala kekurangan serta penambahan dari segi pembangunan mahupun perkhidmatan kesemuanya memerlukan sumber kewangan untuk menampung segala keperluan.

“Tetapi pembangkang hanya tahu mengkritik, bagaimana hendak memerintah tanpa sumber kewangan, tanpa merancang bajet untuk digunakan oleh rakyat?” soalnya.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Pembangkang tidak akan menyokong apa yang dibuat oleh kerajaan, terutama sekali apabila bajet pada kali ini kerajaan mengambilkira semua kategori masyarakat;

“Dari pegawai kerajaan, memudahkan mereka memiliki rumah, masyarakat di bawah B40 dengan pelbagai program untuk membantu kumpulan ini memiliki rumah, kualiti kesihatan rakyat, mengatasi masalah pemandu teksi, pekebun-pekebun kecil, badan profesional kedoktoran, para guru, para usahawan dan banyak lagi kategori masyarakat yang mendapat perhatian dari bajet kali ini,” jelasnya

Malah katanya, mereka yang di bandar turut menikmati faedah dari bajet melalui pembangunan infrastruktur. Penduduk di pedalaman tetap menikmati perkhidmatan dan pembangunan seperti meneruskan pembinaan jambatan, jalan raya, jeti, perkhidmatan letrik dan air bersih.

“Pembangunan pendidikan untuk kanak-kanak dan penambahbaikan bangunan sekolah juga diambil kira,” tambahnya

Mengulas lanjut, beliau menegaskan kesemuanya telah diambilkira oleh kerajaan sehingga ia dikatakan bajet pilihanraya. Kalau pembangkang menolak bajet ini, maka nampak dan nyata mereka tidak mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.

“Rakyat harus menyedari bahawa sikap pembangkang yang tidak bertanggungjawab menunjukkan bahawa pembangkang di negara ini tidak seharusnya dipilih sebagai pemimpin kerana mereka tidak merancang untuk rakyat.

“Kalau begitulah sikap pemimpin yang dipilih,  maka kucar-kacirlah rakyat dan juga negara yang dipimpin,” katanya. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA