Hanya Hospital KKM Terpilih Tawar Khidmat Bayar Penuh


PERKHIDMATAN ini lebih dikenali sebagai FPP iaitu merupakan singkatan bagi perkhidmatan Full Paying Patient (FPP) atau Pesakit Bayar Penuh yang telah dimulakan pada tahun 2007.

Objektif utama perkhidmatan ini adalah sebagai pakej retensi bagi Pegawai Perubatan Pakar KKM dan untuk mengurangkan penghijrahan mereka ke hospital swasta.

Ini kerana kekurangan Pegawai Perubatan Pakar di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sering menjejaskan pemberian perkhidmatan kepakaran dan subkepakaran di hospital KKM.

Adalah dimaklumkan bahawa perkhidmatan FPP ini bukanlah bermaksud penswastaan perkhidmatan penjagaan kesihatan di hospital-hospital kerajaan.

Perkhidmatan penjagaan kesihatan sedia ada yang disubsidi kerajaan akan tetap diteruskan malah akan dimantapkan lagi melalui pelbagai teras transformasi sistem kesihatan oleh KKM.

Bagi perkhidmatan perubatan bersubsidi tinggi ini, pesakit sememangnya dikenakan sedikit bayaran bersubsidi bergantung kepada kelas rawatan dan kemudahan yang disediakan kepada pesakit.

Bagaimanapun caj dikenakan ini masih lagi adalah sangat rendah dan berpatutan kerana ianya masih terus disubsidi oleh pihak kerajaan.

Fokus perkhidmatan FPP ini adalah kepada rakyat yang berkemampuan untuk bayar kos penuh perubatan di mana mereka ada pilihan untuk mendapatkan penjagaan rawatan kepakaran yang tinggi di hospital KKM yang terpilih.

Ada juga pesakit yang dirujuk daripada hospital swasta ke hospital kerajaan kerana kelebihan kepakaran tertentu di hospital kerajaan, sedia untuk memilih skim FPP tanpa subsidi kerajaan.

Antara kelebihan-kelebihan tertentu di bawah skim ini adalah seperti berikut:

1- Pesakit boleh memilih Pegawai Perubatan Pakar untuk merawatnya;

2- Pesakit mendapat kemudahan giliran untuk menerima rawatan daripada Pegawai Perubatan Pakar; dan

3- Pesakit dalam boleh menikmati beberapa kemudahan di wad eksekutif, kelas satu atau yang setaraf.

Semua kemudahan yang akan diberi adalah bergantung kepada sumber, bidang kepakaran dan fasiliti sedia ada. Pesakit yang telah mendaftar sebagai pesakit FPP akan dikenakan bayaran penuh tanpa subsidi kerajaan.

Ini bagi mendapatkan perkhidmatan rawatan perubatan Pegawai Perubatan Pakar yang dilantik untuk menjalankan perkhidmatan FPP di hospital-hospital kerajaan yang terpilih.

Sebahagian hasil daripada pendapatan yang diperoleh oleh kerajaan melalui FPP akan diberikan kepada Pegawai Perubatan Pakar yang berdaftar di bawah perkhidmatan ini.

Kadar caj bagi perkhidmatan perubatan untuk pesakit FPP adalah tertakluk kepada Akta Fi Pesakit Bayar Penuh (2007). Kaedah pembayaran bil FPP boleh dibuat secara: tunai, kad kredit, kad debit atau draf bank.

Surat jaminan (guarantee letter atau GL) syarikat swasta dan insurans perubatan yang mempunyai perjanjian persefahaman bersama Bahagian Kewangan KKM bagi perkhidmatan FPP juga boleh diguna pakai untuk pembiayaan kos rawatan.

KKM sentiasa komited untuk terus menyediakan dan memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat dan yakin bahawa Pegawai Perubatan Pakar di KKM akan terus memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat.

Mereka turut memastikan perkhidmatan FPP ini tidak menjejaskan pemberian perkhidmatan kepada pesakit awam yang lain. Adalah diharapkan inisiatif ini dapat meningkatkan motivasi dan minat Pegawai Perubatan Pakar di KKM untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang mereka di fasiliti kesihatan KKM.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
20 Oktober 2016

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA