Halau Buaya Guna Selipar


SIAPA yang tak takut dengan buaya? Binatang reptilia yang cukup terkenal dengan sifatnya yang ganas dan mengerunkan dengan membaham manusia.

Bagaimanapun, baru-baru ini satu dunia dikejutkan dengan aksi berani seorang wanita di Australia yang cuba menghalau haiwan itu ketika buaya cuba menghampiri dirinya.

Peliknya, wanita itu hanya menggunakan cara yang amat mudah dan paling tidak disangka-sangka untuk menghalau sang bedal iaitu dengan hanya menepuk-nepuk selipar dan menjerkah ke arah buaya berkenaan.

Aksi tersebut secara kebetulan turut dirakam oleh seorang pemerhati buaya, Lyndon Anlezark, yang kini tersebar menjadi viral menerusi laman sosial.

Menerusi video itu, perempuan berkenaan dilihat sedang berdiri bersama-sama seekor anjing kecil di tepi perairan sebuah sungai Taman Nasional Kakadu sebelum tiba-tiba datang seekor buaya ke arahnya.

Dalam video itu, buaya berkenaan dilihat ketakutan dan bergegas beredar setelah wanita berkenaan menepuk seliparnya.

Sementara itu, Anleark meluahkan rasa gusarnya terhadap keselamatan perempuan berkenaan meskipun berhasil menghalau buaya tersebut.

“Sungguh sukar percaya seseorang mengambil risiko seperti itu. Saya kira dia tidak mengetahui betapa bahayanya cara dan perilakunya itu,” katanya kepada Reuters.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA