Guna Facebook Jual Biskut Ganja


KUALA LUMPUR – Biskut ganja merupakan antara produk haram yang dikesan dijual kepada pelanggan melalui Facebook sejak pertengahan tahun lalu.

Produk yang mengandungi ekstrak dadah jenis ganja itu akan dimasukkan ke dalam balang biskut bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa sebelum dipasarkan kepada pelanggan terpilih menerusi Facebook.

Difahamkan, biskut ganja yang dijual antara RM60 hingga RM100 sebalang itu akan memberikan kesan khayal selepas dimakan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Rusli Ahmad berkata, sindiket pengedar dadah mula beralih menggunakan laman media sosial sebagai platform pemasaran baharu.

Menurutnya, hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman mendapati, laman-laman media sosial telah disalah guna oleh pihak tertentu untuk memasarkan produk dadah yang dihasilkan sendiri.

“Selain biskut ganja, sabun dan madu ganja juga dijual. Sebenarnya taktik mereka adalah dengan memasukkan ganja ke dalam kotak sabun dan madu sahaja bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Bahagian Analisis Perisikan Teknikal juga membongkar beberapa laman web yang terlibat memasarkan produk-produk ganja yang boleh didapati dalam bentuk cecair rokok elektronik (vape), gula-gula ganja, kek ganja serta gel rawatan rambut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Debat dan Forum Universiti anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF) di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya (UM) di sini semalam. - Kosmo!

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA