Gempa Bumi Sederhana Di 1,825 km Timur Laut Kudat


KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi sederhana bermagnitud 5.7 dilaporkan berlaku di rantau Taiwan dan di 1,825 kilometer timur laut Kudat, Sabah, pada jam 11.52 malam Khamis.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail, berkata gempa bumi yang berlaku itu bagaimanapun tidak membawa kepada ancaman tsunami.

Menerusi laman web jabatan itu yang dikemas kini jam 12.07 tengah malam Khamis, Che Gayah berkata, pihaknya akan memberi perkembangan lanjut atau maklumat tambahan jika terdapat sebarang perubahan.

Sementara itu, mengikut laman web jabatan itu yang dikemas kini jam 6.34 pagi tadi, ribut tropika (Aere) dikesan pada latitud 20.5 utara dan longitud 116.6 timur, pada jam 2 pagi Jumaat, 1,512 kilometer ke barat laut Kudat, Sabah, pergerakan ke arah barat dengan kelajuan 25 kilometer sejam.

Sehubungan itu, ia dijangka menyebabkan angin kencang barat daya dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter di perairan Perlis, Kedah serta Pulau Pinang hingga Selasa ini.

Jabatan itu memberi amaran keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Dalam pada itu, laman web jabatan itu yang dikemas kini melaporkan ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang di Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah, Labuan dan Sarawak dijangka berterusan hingga lewat pagi Jumaat.- Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA