Gegar Vaganza: Rem Tak Sangka Tersingkir Awal


MINGGU ketiga Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) menyaksikan perjuangan Rem Cassim terhenti selepas penyanyi itu diumumkan tersingkir dari program tersebut, semalam.

Dalam konsert itu, Rem menyampaikan lagu Penawar Rindu nyanyian asal Datin Orchid Abdullah.

Menurut penyanyi kelahiran Sarawak ini dia sama sekali tidak menyangka akan tersingkir pada peringkat awal pertandingan.

Memetik Astro Gempak, Rem berkata, “Saya tidak menjangka saya akan terkeluar. Saya sudah buat yang terbaik dalam persembahan kali ini. Saya redha dengan apa yang berlaku.”

Menerusi persembahannya semalam, vokal Rem diuji dengan lagu klasik yang sememangnya bukan ‘makanan’ penyanyi tersebut.

Namun, Rem berpuas hati dapat memberikan persembahan terbaik sepanjang tiga minggu penglibatannya dalam program yang semakin mendapat tempat di hati peminat.

“Saya seorang penyanyi pop yang mempunyai suara serak dan kasar. Lagu Penawar Rindu seharusnya dilembutkan lenggoknya. Namun begitu, suara saya memang begitu.

“Saya bangga dengan apa yang saya persembahkan malam ini. Saya sudah buat yang terbaik dan tidak salah untuk saya mencuba,” katanya lagi.

Konsert semalam menyaksikan Zarul Umbrella yang mempersembahkan lagu OAG berjudul Generasiku memenangi gelaran ‘Terbalik Paling Menyengat’.

Kini, tinggal 10 peserta yang tinggal untuk bersaing gelaran juara GV3 selepas penyingkiran Rem dan Razis Ismail minggu lalu.

Siapakah di antara Siti Sarah, Azharina, Zarul Umbrella, Gmie Screen, Shidi Data, Elly Mazlein, Intan Sarafina, Zur Eda, Ameng Spring dan Nora bakal meraih gelaran itu?-mynewshub.cc

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA