Gawang Malaysia Tanpa Apek


PETALING JAYA: Jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee membuat keputusan berani dengan mengetepikan penjaga gol nombor satu negara Khairul Fahmi Che Mat (gambar) bagi aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura pada Jumaat ini.

Khairul Fahmi atau turut dikenali sebagai Apek antara lima pemain yang tidak berada dalam senarai 25 pemain termasuk Mathhew Davies, Ronny Harun, Mohamad Nasir Basharudin dan Ahmad Khuzaimi Piee.

Ketiadaan penjaga gol Kelantan itu memberi ruang kepada pemain Selangor Khairulazhan Khalid serta Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dari Perak yang tidak pernah beraksi di pentas antarabangsa sebelum ini.

“Saya tidak membawa Khairul ke Singapura kerana ingin memberi peluang kepada dua lagi penjaga gol, sama ada Khairulazhan dan Hafizul Hakim beraksi. Khuzaimi pula akan berada dalam skuad untuk bertemu Afghanistan.

“Kelima-lima pemain ini bukan digugurkan, tapi mereka tetap akan menjalani latihan ringan dan latihan pemulihan di Wisma FAM bersama pegawai yang kita khaskan sepanjang tiga hari skuad kebangsaan berada di Singapura.

“Apabila kami kembali ke tanah air pada Sabtu ini, mereka akan bersama semula pasukan untuk sesi latihan penuh sebagai persediaan menghadapi perlawanan bertemu Afghanistan,” kata Kim Swee yang akan berlepas ke Singapura bersama anak buahnya hari ini.

Menurut pengendali berusia 45 tahun itu, Ronny ketika ini mengalami kecederaan belakang, Nasir mengadu sakit di pangkal paha manakala Davies, masalah kesihatan.

Berdasarkan senarai akhir itu, kesemua enam pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan JDT II yang hanya melaporkan diri pada Isnin lalu kekal bersama pasukan termasuk kapten Mohd Amri Yahyah.

Selepas aksi menentang Singapura di Stadium Nasional negara itu, skuad Harimau Malaysia akan kembali ke tanah air bagi menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan dengan Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober ini.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA