Gaji Minimum RM1,500 Masih Belum Sesuai Dilaksanakan


Dalam kesibukan kerajaan Barisan Nasional membuat persedian bagi Bajet 2017, Pakatan Harapan juga dilihat sibuk membentangkan bajet alternatif 2017 mereka dimana pelbagai cadangan yang dikemukakan untuk menarik perhatian rakyat.

Antara cadangan yang dikemukan oleh pihak pembangkang adalah menaikkan gaji minimum bulanan pekerja kepada RM1,500 sebulan di seluruh negara.

Bagi rakyat yang majoritinya golongan pekerja, mereka merasakan tawaran itu menarik perhatian, maklumlah tiada lagi rakyat negara ini berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan jika janji itu benar-benar dilaksanakan.

Memang tidak dinafikan upah gaji tersebut sememangnya diimpikan oleh setiap golongan pekerja lebih-lebih lagi peningkatan kos sara hidup yang meningkat secara mendadak ketika ini.

Namun tidakkah pihak pembangkang berfikir akan berlaku sifat ketidakadilan dimana upah pekerja dibayar tidak mengikut kelulusan, kemahiran dan pengalaman yang mereka miliki.

Sebagai contoh, pekerja A hanya mempunyai kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) manakala pekerja B mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi kedua-kedua dibayar dengan ketetapan gaji minimum RM1,500, adakah keadilan berlaku di situ? Tidak sama sekali.

Apa yang penting biarlah upah pekerja berpatutan dengan kelulusan, kemahiran dan pengalaman yang mereka miliki.

Cuba bayangkan jika gaji minimum ini dilaksanakan, penulis percaya majikan akan mengurangkan jumlah pekerja dan ini secara langsung akan mengurangkan peluang pekerjaan dan pengangguran akan meningkat.

Gaji minimum sebenarnya belum sesuai dilaksanakan dan ketika ini kerajaan melihat kepada usaha untuk meningkatkan pendidikan teknikal.

Malah, gaji pekerja juga akan meningkat setiap tahun mengikut prestasi yang diberikan oleh pekerja itu sendiri terutamanya dalam sektor swasta dimana majikan mengambil langkah tersebut bagi mengekalkan pekerja supaya tidak berhijrah ke tempat lain.

Selain itu, sekiranya cadangan pembangkang ini dilaksanakan, sudah pasti pihak yang akan terkesan adalah industri kecil dan sederhana (IKS) yang mungkin akan berhadapan kenaikan tanggungan kos operasi mereka dimana kebanyakannya dipelopori di luar bandar.

IKS adalah satu-satunya perusahaan perkilangan atau syarikat yang menyumbang peluang pekerjaan kepada rakyat dan meningkatkan ekonomi masyarakat terutamanya penduduk di luar bandar.

Sekiranya sektor IKS ini lumpuh akibat pelaksanaan pakatan pembangkang itu. Sudah tentunya menyebabkan pekerja terutama di kalangan penduduk luar bandar kehilangan pekerjaan mereka.

Apa yang pasti, pelaksanaan gaji miminum yang dicadangkan oleh pakatan harapan hanya akan memberi impak yang negatif kepada ekonomi negara secara langsung kepada pelaburan, peningkatan kadar inflasi dan seterusnya kepada peluang pekerjaan kepada rakyat itu sendiri. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA