Gagal Jaga Kebersihan Tandas Premis, Tindakan Tegas Akan Diambil


KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kedai makan di kawasan pentadbirannya yang gagal menjaga kebersihan tandas di premis masing-masing.

Datuk Bandar MBKS Datuk James Chan berkata menarik balik lesen perniagaan antara tindakan yang akan diambil oleh MBKS selepas pemilik tidak akur dengan amaran diberikan.

“Bahagian Kesihatan Awam MBKS mempunyai kuasa memeriksa tandas di kedai-kedai makan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri.

“Jika tandas di kedai makan diperiksa itu didapati kotor, menjijikkan, MBKS akan mengeluarkan notis penggantungan sementara dua atau tiga minggu, jika tiada perubahan, tindakan membatalkan lesen akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Ceramah Kesihatan: Kebersihan dan Etika Bilik Air di Auditorium MBKS di sini semalam.

Katanya penggredan dan pengeluaran lesen perniagaan kedai makan di kawasan seliaannya juga bergantung kepada kualiti bilik air disediakan dengan setiap daripadanya diwajibkan menyediakan tandas lelaki dan wanita.

Chan menambah, MBKS tidak hanya memandang serius isu kebersihan tandas di premis makanan tetapi tandas awam kerana tandas yang kotor boleh menjejaskan imej bandar raya Kuching sebagai antara bandar raya terbersih di Malaysia.

Ia juga katanya, penting untuk memastikan risiko-risiko mengancam kesihatan awam dapat dibendung.

“Apabila kita berbicara tentang tandas ia memang perkara kurang menyenangkan tetapi hakikatnya ia sangat penting, kehidupan kita tidak boleh dipisahkan daripadanya.

“Oleh sebab itu MBKS amat mengambil berat tahap kebersihan tandas termasuk tandas awam di kawasan kami walaupun ada satu, dua daripadanya perlu diberi perhatian,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai membantu MBKS atau pihak berkuasa tempatan (PBT) lain menjaga kebersihan tandas awam di negeri ini kerana tindakan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab itu kepada PBT tidak akan membuahkan hasil optimum. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA