Gagal Bayar Bil Hospital, Bapa Jual Bayi Di Facebook


AKIBAT gagal menjelaskan bil hospital, sepasang suami isteri dari Makassar, Indonesia terpaksa ‘menjual’ bayi mereka yang baru berusia 13 hari menerusi laman sosial Facebook.

Kompas TV melaporkan, Januar, 27, dan isterinya, Andi Indra Ayu, 26, tidak mampu menjelaskan bil hospital mencecah 39 juta rupiah (RM12,363) selepas bayi perempuan mereka dilahirkan di Hospital Pendidikan Unhas Makassar pada 17 September lalu.

Januar kemudiannya memuat naik satu surat, gambar bayi perempuan mereka dan bil hospital dalam Facebooknya pada Jumaat lalu dengan menawarkan bayinya kepada rakyat Indonesia yang sanggup membayar bil hospital berkenaan.

Dalam status berkenaan, Januar menjelaskan anak perempuannya yang diberi nama Farida Auliyah Khumairah itu dilahirkan tidak cukup bulan dan terpaksa ditempatkan di dalam inkubator di Rumah Sakit Pendidikan Unhas Makassar.

Januar dalam surat berkenaan memberitahu, individu yang menjelaskan bil hospital berkenaan akan memiliki bayi mereka sepenuhnya.

“Secara peribadi tiada apa yang boleh saya lakukan. Itu (menjual bayi) adalah reaksi peribadi yang timbul kerana keperluan anak,” katanya.

Januar berkata, dia baru sahaja mendaftar dengan Badan Penyelenggara Jaminan Sosial (BPJS) ketika kandungan isterinya berusia tujuh bulan, namun baru dua hari daftar, anaknya itu dilahirkan tidak cukup bulan.

Masalah timbul apabila pengaktifkan BPJS hanya dapat dilakukan selepas 14 hari pendaftaran.

Perkongsian Januar ‘menjual’ anaknya dalam Facebook menjadi perbincangan hangat di media sosial sekali gus mendapat perhatian daripada hospital dan BPJS.

Nasib Januar berubah apabila BPJS tampil membantu menjelaskan bil hospital dan menanggung kos rawatan anaknya yang dilahirkan tidak cukup bulan itu. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA