Gadis Ditemui Tergantung Di Rumah


KUCHING: Seorang gadis disahkan meninggal dunia ketika cuba diselamatkan oleh anggota paramedik di Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas dikatakan ditemui dalam keadaan tergantung di rumahnya di sini, kelmarin.

Menurut sumber, mangsa berusia 18 tahun itu dikatakan ditemui keluarganya tergantung pada tempat penyangkut pakaian selepas mereka berjaya membuka pintu bilik mangsa yang dikunci dari dalam sekitar jam 7 malam.

“Keluarga mangsa kemudian segera memberi rawatan kecemasan kepadanya selain turut menghubungi pihak ambulans untuk bantuan.

“Mangsa selepas diberikan bantuan kecemasan oleh anggota paramedik di tempat kejadian dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, usaha untuk menyelamat mangsa gagal dan dia telah disahkan meninggal dunia kira-kira 20 minit kemudian,” kata sumber.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik HUS dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh keluarga mangsa dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih giat dijalankan.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA