Firma Saudi bakal ambil alih McDonald’s Malaysia

HONG KONG/SINGAPURA: McDonald’s Corp mungkin bersetuju untuk menjual hak francais restorannya di Singapura dan Malaysia yang dipegang selama 20 tahun kepada Kumpulan Reza dari Arab Saudi pada nilai AS$400 juta, kata sumber.

Reza Food Services Co. Ltd, yang memiliki dan mengendalikan restoran McDonald’s di wilayah barat dan selatan Arab Saudi dikatakan meminta CIMB di Malaysia untuk membiayai transaksi itu, kata 2 sumber yang enggan dinamakan, kerana urus niaga itu masih belum boleh diumumkan.

Langkah itu selaras dengan rancangan McDonald’s untuk membawa masuk rakan kongsi selepas ia bertukar kepada model francais intensif kurang modal di Asia.

Sumber berkata McDonald’s berminat untuk bekerjasama dengan kumpulan milik keluarga di wilayah berkenaan dan taikun tempatan kerana ia mencari rakan kongsi bagi jangka panjang, bukan sekadar pembelian syarikat.

Syarat asas perjanjian itu sudah dimuktamadkan dan urus niaga itu dijangka dapat disempurnakan pada akhir tahun ini, kata sumber.

CIMB enggan mengulas, dan tiada respons serta-merta diperoleh daripada McDonald’s.

Pada masa ini, komen daripada Reza juga belum diperoleh.

Sumber berkata CIMB akan menyediakan syarat pinjaman yang banyak untuk menyokong urus niaga itu, dan pembiayaan akan dibuat dalam ringgit Malaysia dan dolar Singapura.

Pada Julai, McDonald’s berkata ia mencari rakan kongsi francais untuk restorannya di Singapura dan Malaysia serta sedang berunding dengan beberapa pihak, tetapi tidak memberikan butiran atau tempoh masa.

McDonald’s mempunyai kira-kira 120 restoran di Singapura dan 260 di Malaysia.

Memetik sumber, Reuters pada bulan lalu melaporkan McDonald’s menerima beberapa bidaan akhir daripada sekurang-kurangnya 3 kumpulan untuk outletnya di China dan Hong Kong.- Reuters/FMT

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA