Filipina Timbang Untuk 'Berpisah' Dengan AS - Duterte


MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama boleh "pergi jahanam" selepas AS enggan menjual senjata kepada negara itu namun tidak bimbang kerana Russia dan China sanggup menjadi pembekal, katanya semalam.

Duterte menegaskan beliau sedang menyusun semula dasar luar negara kerana Amerika Syarikat mengecewakan Filipina.

"Tidak mustahil suatu hari nanti saya akan berpisah dengan Amerika," katanya walau masih tidak jelas apa yang dimaksudkan dengan berpisah.

Sepanjang tiga ucapan lantang dan bersemangat beliau di Manila, Duterte berkata, Amerika Syarikat tidak mahu menjual peluru berpandu dan senjata lain, tetapi Russia dan China mampu membekalkan dengan mudah.

Sementara itu di Washington, pegawai-pegawai AS memandang ringan komen Duterte dan berkata ia bertentangan dengan hubungan mesra kedua-dua negara yang terjalin sejak berdekad lalu.

Jurucakap White House, Josh Earnest berkata, setakat ini tiada sebarang komunikasi dengan Filipina berhubung perubahan dalam hubungan dua negara itu.

Bagaimanapun, Earnest tidak berganjak daripada kritikan AS terhadap taktik Duterte memerangi dadah.

"Walaupun kami melindungi pakatan yang kuat ini, pentadbiran dan Amerika Syarikat tidak akan teragak-agak untuk menyuarakan kebimbangan berhubung pembunuhan di luar undang-undang," katanya dalam satu taklimat. - Reuters

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA