Filem Redha Wakil Negara Di Anugerah Akademi Ke-89 (Oscar) 2017


KUALA LUMPUR: Filem Redha arahan sutradara, Tunku Mona Riza Tunku Khalid, 49, dipilih mewakili negara di Anugerah Akademi Ke-89 (Oscar) 2017.

Pemilihan secara rasmi itu diumumkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi laman sosial, Facebook.

Pemilihan Redha terbitan Current Pictures Sdn. Bhd., mewakili Malaysia bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik diputuskan oleh Jawatankuasa Festival Filem Antarabangsa itu selepas menerima penghantaran filem tersebut oleh Finas.

Pengarah Redha, Tunku Mona Riza ketika dihubungi wartawan Utusan Online berkata, beliau amat terharu dengan pemilihan filem pertamanya itu untuk dipertandingkan di
Anugerah Akademi pada Februari tahun hadapan.

"Saya amat terharu dan terkejut dengan berita yang menggembirakan ini kerana filem yang mewakili suara keluarga yang mempunyai anak autism, kini didengar,"katanya dalam nada tangisan kegembiraan.

Beliau mengakui tidak menyangka filem yang membariskan pelakon seperti Nam Ron, June Lojong, Nadiya Nissa, Remy Ishak, Ruminah Sidek, Susan Lankester selain pelakon kanak-kanak; Harith Haziq dan Izzy Reef terpilih untuk mewakili negara pada Anugerah Akademi Ke-89.

Sebelum ini, filem-filem yang telah mewakili Malaysia di Anugerah Akademi ialah Puteri Gunung Ledang (2005), Bunohan (2013) dan Lelaki Harapan Dunia pada edisi tahun lalu (2015). 

Filem Redha yang mengisahkan kekuatan dan pengorbanan pasangan suami isteri di dalam menghadapi cabaran anak tunggal mereka yang menghidap autism. - UTUSAN ONLINE

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA