Fadillah Seru Belia Rebut Peluang Sertai Program Komuniti


KUCHING: Golongan belia di negeri ini khususnya belia Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong disaran merebut peluang melibatkan diri dalam apa juga program mahupun aktiviti dianjur di kawasan masing-masing.

Menyuarakan gesaan itu, Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dengan adanya penglibatan seumpama itu, ia bukan sahaja dapat mengisi masa terluang belia, bahkan juga sebagai platform meningkat jaringan dengan rakan sebaya.

Pada masa sama katanya, program dan aktiviti berbentuk kerjasama sesama masyarakat juga diyakini dapat membina aspek kepimpinan dalam diri masing-masing.

“Sekolah merupakan tempat untuk anak menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran agar setiap anak mempunyai bekalan secukupnya untuk berdepan realiti kehidupan selepas tamat alam persekolahan.

“Sebab itu, amat penting menyertai aktiviti atau program secara aktif, kerana ia mengajar anak untuk belajar mengenai erti kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Majlis Nur Sejahtera Belia Tupong, di Dewan Serbaguna Kampung Pinang Jawa, di sini semalam yang disertai kira-kira 50 peserta belia Tupong anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Kawasan Petra Jaya.

Sehubungan itu, memberi contoh program berunsur keusahawanan, Fadillah berkata, ia dapat memberi gambaran dan tunjuk ajar kepada anak-anak belia bagaimana kaedah menguruskan perniagaan yang dijalankan.

“Misalnya, pada masa kini, ramai anak-anak belia kita yang melibatkan diri dalam perniagaan ‘online,’ itu sangat baik sekali.

“Justeru, mengikuti program keusahawan dapat mengasah lebih lagi kemahiran berniaga untuk diaplikasikan menerusi perniagaan sedia ada yang sedang anda jalankan di rumah,” jelasnya.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata, program dianjur semalam merupakan program yang menekan mengenai peranan belia selain meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan kumpulan sasar mengenai kepentingan mempunyai sifat kepimpinan.

Katanya, ia juga bertujuan bagi melengkapkan para belia dengan ilmu pengetahuan dan maklumat am bagi menguatkan jati diri dalam membuat keputusan pada masa akan datang.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA