Exco FAS Akan Tentukan Presiden Baharu - Hanifah


KUCHING: Presiden baharu Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) hanya akan ditentukan oleh Jawatankuasa Eksekutif (Exco) persatuan, kata Penasihat FAS Datuk Hanifah Hajar Taib-Alsree.

Beliau berkata, exco akan membuat keputusan memilih calon berkelayakan untuk menerajui badan induk tersebut.

Menurutnya, perkara penting adalah individu yang dipilih perlu sesuai untuk menggalas tugas demi Sarawak, FAS dan penyokong.

"Tidak perlu jadi presiden, saya tetap menyokong pasukan Sarawak.

"Exco harus membuat keputusan yang tepat untuk memilih sesiapa yang layak," katanya.

Pemilihan calon untuk kerusi nombor satu itu nanti menurut Hanifah, terpulang kepada exco untuk memilih individu yang layak.

"Saya sedia membantu Sarawak dari pelbagai sudut termasuk memberi motivasi supaya untuk menjadi positif, sokongan moral.

"Membantu keperluan yang mampu meningkatkan prestasi pasukan, itu saya akan lakukan, tetapi tidak semestinya saya yang ada jadi presiden," ujarnya.

Hanifah bagaimanapun berkata, banyak perkara perlu dipertimbangkan sekiranya beliau dipilih sebagai presiden kerana tidak mahu terburu-buru.

"Jadi, kita mesti lihat terlebih dahulu kerana banyak perkara yang perlu difikirkan dan dipertimbangkan sebelum bersetuju untuk mengisi kekosongan tersebut," jelasnya.

Persoalan mengenai presiden baharu FAS hanya akan terjawab selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa dijalankan awal tahun depan.-Sarawakiana


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA