Empat Penjenayah Gagal Pecah Dua Mesin ATM


KAMPAR: Empat lelaki bersenjatakan parang dan besi kuku kambing gagal dalam cubaan merompak dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah pasar raya di sini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata polis menerima laporan seorang pengawal keselamatan berhubung kejadian pada jam 3.30 pagi.

Sebelum kejadian, katanya, pengawal keselamatan itu bersama dua rakan sekerja membuat rondaan di hadapan pintu nombor tiga pasar raya berkenaan.

"Secara tiba-tiba, muncul tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang manakala seorang lagi memegang kuku kambing masuk ke dalam pasar raya berkenaan lalu mengikat serta mengurung ketiga-tiga pengawal dalam tandas lelaki.

"Bagaimanapun, kira-kira tiga jam kemudian, pengawal keselamatan itu dan rakannya berjaya melepaskan diri sebelum mendapatkan bantuan pekerja pasar raya berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kong Soon berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati dua mesin ATM di pasar raya berkenaan cuba dipecahkan penjenayah menggunakan gas oxy-acetylene namun gagal.

Katanya, empat penjenayah itu memecah masuk ke dalam pasar raya dan dipercayai cuba mencuri wang tunai tetapi tidak sempat berbuat demikian.

"Mereka melarikan diri sebaik melihat kereta peronda polis memasuki kawasan pasar raya sebagai rutin harian rondaan.

"Siasatan masih diteruskan dan sedang mengesan empat penjenayah terbabit berdasarkan gerak-geri suspek yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyamun mesin ATM," katanya.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA