Ekonomi Malaysia pulih pada 2017 – Bank Dunia

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka melantun semula pada 2017 dan 2018 susulan pemulihan harga minyak dan barangan eksport, kata Ketua Ekonomi bagi Asia Timur dan Pasifik Sudhir Shetty.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangkakan perlahan kepada 4.2 peratus pada 2016 daripada 5.0 peratus pada tahun lepas, dengan minyak dan eksport perkilangan terjejas disebabkan permintaan global yang lemah, kata Shetty.

“Kami sudah melihat trend pemulihan ketika ini,” katanya kepada media Malaysia melalui persidangan video dari Washington DC di sini hari ini.

Secara keseluruhannya, pertumbuhan dalam ekonomi membangunkan di Asia Timur dan Pasifik dijangka kekal berdaya tahan dalam tempoh tiga tahun akan datang, berkembang pada kadar 5.8 peratus tahun ini dan 5.7 peratus pada 2017-2018.

Sementara itu, Bank Dunia menjangkakan China akan meneruskan peralihan beransur-ansur kepada pertumbuhan yang lebih perlahan, namun lebih mampan daripada 6.7 peratus pada 2016 kepada 6.5 peratus pada 2017 dan 6.3 peratus pada 2018. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA