Duterte 'serang' Obama sekali lagi


MANILA - FILIPINA . Presiden Filipina, Rodrigo Duterte sekali lagi membuatkan Amerika Syarikat (AS) panas apabila membidas Presiden Barack Obama dengan berkata "go to hell" selepas AS enggan menjual senjata kepada negara itu.

Memetik laporan Reuters, Duterte berkata, tindakan AS itu tidak membimbangkannya kerana Rusia dan China sanggup menjadi pembekal kepada negaranya.

"Jika anda (AS) tidak mahu menjual senjata, saya akan pergi ke Rusia. Saya menghantar jeneral ke Rusia dan pihak Rusia berkata jangan bimbang, kami mempunyai semua yang anda perlukan, kami akan memberikan kepada anda.

"Adapun China, mereka berkata "hanya datang dan menandatangani dan segala-galanya akan dihantar"," katanya.

Berucap selama tiga jam dengan penuh bersemangat semalam, Duterte berkata, dengan perilaku AS itu, beliau sedang menyusun semula dasar luar negara kerana Amerika Syarikat mengecewakan Filipina.

"Tidak mustahil suatu hari nanti saya akan berpisah dengan Amerika," katanya walau masih tidak jelas apa yang dimaksudkan dengan berpisah.

Sementara itu di Washington, pegawai-pegawai AS berkata, kenyataan Duterte itu bertentangan dengan hubungan mesra kedua-dua negara yang terjalin sejak berdekad lalu.

Jurucakap White House, Josh Earnest berkata, setakat ini tiada sebarang komunikasi dengan Filipina berhubung perubahan dalam hubungan dua negara itu.

Bagaimanapun, Earnest tidak berganjak daripada kritikan AS terhadap taktik Duterte memerangi dadah.

"Walaupun kami melindungi pakatan yang kuat ini, pentadbiran Amerika Syarikat tidak akan teragak-agak untuk menyuarakan kebimbangan berhubung pembunuhan di luar undang-undang," katanya dalam satu taklimat.-SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA