Dua Rakyat Brunei Direman Bantu Siasatan Penjualan Harimau Bintang

Gambar Hiasan

MIRI: Dua rakyat Brunei ditahan reman sejak Jumaat lepas bagi membantu siasatan penjualan harimau bintang.

Kes haiwan yang dilindungi sepenuhnya, yang dikenali secara saintifik sebagai Neofelis nebulosa, telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak (JHS) untuk tindakan lanjut.

Penjualan harimau bintang tersebut ditemui melalui laman media sosial.

“Pegawai-pegawai penguat kuasa menyamar untuk menyiasat kes berkenaan. Ini adalah yang pertama seumpamanya diterima oleh JHS.

“Harimau bintang tersebut masih lagi hidup. Adalah dipercayai bahawa harimau dahan itu berasal dari Brunei dan dibawa ke Sarawak untuk dijual pada harga RM20,000,” kata seorang pegawai penguat kuasa JHS.

Beliau berkata kedua-dua mereka akan dibawa ke mahkamah kerana menjual haiwan yang dilindungi sepenuhnya.

Jika didapati bersalah, mereka akan dikenakan denda RM25,000 dan dihukum hukuman penjara sehingga dua tahun di bawah Seksyen 29 (c) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Sementara itu di Bakun, beliau mendedahkan bahawa kedua-dua lelaki tersebut disyaki membunuh harimau dahan di beberapa tempat di kawasan itu.

“Kes itu juga dipamerkan di laman media sosial dan (JHS) kini masih menjalankan siasatan untuk mengesan di mana kedua-duannya berada,” tambahnya.

Dalam kes berasingan, empat warga Indonesia telah disabitkan oleh mahkamah pada Jumaat kerana memiliki 10 burung spesies ‘Shama White-rumped’ atau burung murai batu dan dua burung ‘Hill mynahs’ (Gracula religiosa) di Marudi.

Menurut pegawai penguat kuasa JHS, kedua-dua spesies tersebut dilindungi di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

“Warga Indonesia itu didapati bersalah dan dijatuhi hukuman lapan tahun penjara bagi kesalahan yang dilakukan.

“Pendakwaan telah dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Sarawak, “katanya.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA