Dua Pekerja Pasar Raya Diberkas Disyaki Curi Ayam


MIRI: Dua pekerja sebuah pasar raya di sini diberkas polis kerana disyaki mencuri enam kotak sayap ayam kepunyaan majikan tempat mereka bekerja.

Tangkapan ke atas mereka dibuat sejurus selepas kejadian berlaku setelah diserahkan oleh pihak pengurusan pasar raya tersebut.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat oleh pengurus pasar raya terbabit di Balai Polis Lutong sekitar jam 11 pagi kelmarin.

Dalam aduannya, pengadu yang berusia 35 tahun mendakwa, sekitar jam 9.30 pagi pada 16 Oktober lalu, dia dimaklumkan oleh seorang kakitangan yang ternampak seorang pekerja pasar raya berada di tempat pembuangan sampah.

Pengadu kemudian pergi ke tempat pembuangan sampah terletak di luar bangunan pasar raya tersebut dan ternampak enam kotak sayap ayam sejuk beku diletakkan di situ.

Ketika ditanya, pekerja terbabit memberitahu bahawa dia bersama seorang lagi rakan sekerja mencuri enam kotak sayap ayam sejuk beku itu yang kesemuanya bernilai RM560.

Berikutan itu, kedua-dua suspek berusia 26 dan 20 tahun kemudian diberkas dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA