Dua Ditahan Berkaitan Penemuan Mayat Nyala


SIBU: Dua lagi suspek lelaki ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Julau bagi membantu siasatan polis berhubung mayat Nyala Intai berumur 61 tahun yang ditemui dengan kesan tembakan di kawasan hutan Ulu Sungai Masit, Julau Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Julau DSP Bidol Noyeng memberitahu, dua suspek berkenaan ditangkap di rumah panjang yang sama susulan soal siasat terhadap suspek pertama yang menyerah diri petang Rabu lalu.

“Dua suspek berumur 24 dan 21 tahun bersama suspek pertama berusia 40 tahun yang menyerah diri sebelum ini, direman selama empat hari sehingga Isnin depan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 304A kerana disyaki menyebabkan kematian (tertembak) akibat kecuaian.

Menurut beliau, pihak polis akan meneruskan siasatan untuk melengkapkan kertas siasatan.

“Hari ini, pasukan penyiasat kes masih mengesan senjata api di kawasan yang agak jauh dan masih belum kembali ke balai,” katanya ketika dihubungi petang semalam.

Pada Ahad lalu, mangsa dikatakan keluar dari rumah panjang di Rantau Panjai, Sungai Masit untuk mencari kayu di hutan sekitar jam 3.30 petang Ahad lalu.

Apabila mangsa gagal pulang ke rumah keesokannya, ahli keluarga mangsa telah membuat laporan polis di IPD Julau sebelum operasi mencari mangsa bersama lebih kurang 30 penduduk rumah panjang dan pasukan IPD Julau dilancarkan.

Bagaimanapun, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan tembakan dan selaras senapang patah milik mangsa ditemui di lokasi kejadian iaitu tiga jam perjalanan dari rumah panjang mereka.

Berdasarkan siasatan, kata DSP Bidol, ketiga-tiga suspek keluar bersama untuk memburu di hutan namun tiada pengakuan daripada semua suspek.

“Ketiga-tiga suspek keluar menembak (memburu) di hutan berkenaan tetapi tiada pengakuan melepaskan tembakan,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya bedah siasat mayat mangsa telah dijalankan di Hospital Sibu petang semalam.

“Kita masih lagi menunggu keputusan bedah siasat mayat mangsa,” tambahnya.

Sementara itu, Bidol turut mengesahkan bahawa selaras senapang patah telah dirampas polis sebagai barang bukti kes lewat petang semalam.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA