DRB-Hicon Ucap Selamat Tinggal Liga M


PASUKAN DRB-HICOM mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas pasukan berstatus kelab itu memutuskan untuk menarik diri daripada beraksi dalam kancah Liga Premier musim depan.

Kapten DRB-Hicom, Abdullah Yusof, 29, ketika mengesahkan perkara tersebut mengakui terkejut dengan keputusan pembubaran pasukan yang diberi jolokan D’gReatBees (The Great Bees) itu.

Pemain pertahanan tengah itu menjelaskan bahawa DRB-Hicom tidak mempunyai masalah dalaman atau pun berlakunya krisis pembayaran gaji sepanjang saingan Liga Premier musim ini.

“Memang benar khabar angin mengatakan DRB-Hicom akan tarik diri daripada Liga Premier musim depan dan ia sudah sah. Sebenarnya kami baru mendapat tahu perkara ini semalam (kelmarin), sehari selepas perlawanan terakhir liga musim ini.

“Sejujurnya, saya memang terkejut dengan keputusan ini sebab kalau berkaitan dengan prestasi pasukan, kami konsisten. Pemain-pemain tempatan yang ada juga bagus dan mampu memberi saingan kepada pasukan-pasukan elit Liga Premier musim ini.

“Kelab bola sepak DRB-Hicom tidak akan tutup, mereka akan terus bermain dalam Liga KL (Kuala Lumpur) selepas ini. Mungkin kewangan syarikat yang mahu fokus ke arah perniagaan pula menyebabkan langkah ini terpaksa diambil,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, DRB-Hicom menamatkan kempen musim ini di tangga ketujuh liga selepas merekodkan lapan kemenangan, lima seri dan sembilan kekalahan sepanjang 22 perlawanan liga.

Kelab yang dikendalikan jurulatih Chong Yee Fat itu juga berjaya menjaringkan keseluruhan 30 gol dan 29 bolos dengan penyerang import dari Croatia, Ivan Babic muncul penjaring ketiga terbanyak Liga Premier selepas meledak 16 gol.

Dalam masa sama, Abdullah menyifatkan DRB-Hicom ialah satu platform terbaik bagi pemain-pemain muda membuktikan kemampuan mereka seperti pernah dilakukan penyerang Polis Diraja Malaysia (PDRM), Muhammad Fakhrul Aiman Sidid.

“DRB-Hicom ada prospek-prospek yang bagus. DRB-Hicom ambil semula Fakhrul Aiman selepas dua tahun dia tenggelam dengan PKNS Selangor dan kemudian barulah dia ‘disambar’ oleh PDRM sehingga dipanggil menyertai Harimau Malaysia baru-baru ini.

“Keinginan saya untuk bermain bola sepak ada lagi, saya akan cuba cari mana-mana pasukan yang berminat untuk menggunakan saya musim depan. Buat masa ini belum ada lagi sebab liga baru sahaja habis,” kata Abdullah yang sudah enam tahun bersama DRB-Hicom.

Pasukan yang berpangkalan di Stadium Proton, Tanjung Malim itu sebelum ini dikenali sebagai Pos Malaysia FC selepas ditubuhkan pada Mac 2008 dan menjuarai saingan Liga FAM pada musim berikutnya sebelum nama tersebut ditukarkan kepada DRB-Hicom FC dua tahun lalu.-Kosmo



No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA