Dr Mahathir Akui Gagal Yakinkan Seri Paduka


PUTRAJAYA:
Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam mengakui gagal meyakinkan Yang di-Perrtuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, untuk mengambil sebarang tindakan berhubing ‘Deklarasi Rakyat’ beliau.

Katanya, tiada jawapan positif diperoleh berhubung deklarasi itu dalam pertemuan dengan baginda di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah pada bulan lalu.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya sedang berusaha merayu dan sudah menghantar surat kepada Majlis Raja-Raja, Sultan serta Yang di-Pertua Negeri supaya perkara itu diambil perhatian.

“Kita akan tunggu keputusan Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada 11 Oktober ini. Saya tidak pasti sama ada ia akan dibincangkan dalam mesyuarat itu atau sebaliknya, tetapi saya yakin Majlis Raja-Raja tidak akan memandang ringan rayuan daripada rakyat,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Dr Mahathir enggan mendedahkan inti pati perbincangannya dengan Yang di-Pertuan Agong pada pertemuan kira-kira 1 jam 10 minit itu.

“Kita ada perbincangan yang panjang, kira-kira 1 jam 10 minit, dan baginda bertanya secara serius mengenai peruntukan undang-undang dan perkara seumpamanya, yang mana saya sudah menjelaskan kepadanya. Tetapi pada akhirnya, saya gagal yakinkan bagindan yang baginda perlu bertindak,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak, dalam satu kenyataan, berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, sudah menjelaskan kepada Dr Mahathir bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha yang dibuat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA