DOJ subjudis elak Ahli Parlimen, Menteri jadi saksi - Pandikar


KUALA LUMPUR: Keputusan menghalang isu tindakan saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dijawab pada persidangan kali ini kerana subjudis, adalah untuk mengelakkan mana-mana Ahli Parlimen atau Menteri dipanggil sebagai saksi pada perbicaraan di Amerika Syarikat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata tidak ada undang-undang yang menghalang individu di negara ini dipanggil menjadi saksi dalam perbicaraan kes di negara itu, khususnya jika ia dibicarakan secara terbuka dalam Parlimen.

Malah, katanya, pihak pendakwaan dan pembelaan di AS boleh menggunakan kenyataan daripada Ahli Parlimen di negara ini untuk mempengaruhi perbicaraan di negara berkenaan.

"Ahli Parlimen Gelang Patah (Lim Kit Siang) dan Puchong (Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo) memberi alasan istilah subjudis bagi perbicaraan itu tidak terpakai di negara ini kerana syarikat yang didakwa berdaftar di AS, serta perbicaraan juga dijalankan di negara itu.

"Jika itu alasan digunakan, iaitu keseluruhan perbicaraan berlaku dan membabitkan AS, kenapa ia mahu dibahaskan di Parlimen Malaysia (yang tiada sebarang kaitan dengan kes).

"Ianya kerana adanya hubung kait dengan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan mahu isu ini terus dimainkan. Ini perkara yang dipolitikkan dan tiada kaitan dengan saya sebagai Speaker Dewan Rakyat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Isnin lalu, Pandikar menetapkan sebarang soalan berkaitan tindakan saman sivil DOJ pada persidangan kali ini tidak perlu dijawab menteri berkenaan kerana bersifat subjudis.

DOJ sebelum ini memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1MDB yang didakwa diselewengkan.

Pandikar berkata, keputusan yang dilakukannya bukan atas pengaruh atau untuk kepentingan pihak tertentu, sebaliknya berdasarkan tiga Peraturan Mesyuarat, iaitu Peraturan Mesyuarat 23(1)(g), 36 (2) dan 21(1)(a).-BH


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA