Dilema Lisa Mahu Anak Jadi Anak Angkat

gambar hiasan
KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Lisa (bukan nama sebenar) sedang mengandungkan anaknya, lebih tepat lagi anak luar nikah.

Dia sayangkan anaknya itu, namun kerana dia yang berumur 20 tahun tidak mahu keluarganya tahu dia mempunyai anak luar nikah dan menyedari kesukaran yang bakal dihadapinya mempunyai anak pada usia muda, maka dia bercadang mahu menyerahkan anaknya itu apabila lahir kelak kepada orang lain sebagai anak angkat.

"Saya tetap sayang bayi saya. Saya juga tidak sampai hati hendak menggugurkan kandungan saya," katanya.

Lisa telah mengambil langkah dengan memuat naik di Facebook 'Info Ibu Hamil' untuk mencari keluarga angkat bagi bakal anaknya termasuk memberitahu maklumat mengenai status anak dalam kandungan dan dirinya.

Namun dia tidak tahu langkah yang perlu diambil bagi menjadikan anaknya sebagai anak angkat.

Ketika diminta menjelaskan mengenai perkara itu, Pengarah Bahagian Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Arfan Sulaiman berkata proses biasa yang dilakukan ialah seseorang bayi itu perlu didaftar kelahirannya terlebih dahulu.

"Selepas sijil lahir seseorang bayi disediakan, ibu kandung dan penjaga baharunya perlu pergi ke Pesuruhjaya Sumpah bagi membuat akuan penyerahan bayi.

"Bagi ibu yang di bawah umur 18 tahun atau bawah umur, akuan sumpah perlu dibuat bersama dengan nenek bayi berkenaan. Selepas akuan sumpah dibuat, penjaga baharu bayi perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah di kawasan tinggalnya untuk membuat pemakluman kepada pelindung.

"Sekiranya bayi itu adalah anak sah taraf, maka kedua-dua ibu bapa kandungnya perlu hadir semasa akuan sumpah penyerahan bayi dibuat," katanya.

Pusat penjagaan juga menetapkan beberapa peraturan tertentu bagi menempatkan bayi yang mahu dijadikan anak angkat.

"Kita tidak terima seseorang bayi begitu sahaja. Kita akan beri kaunseling dan nasihat dahulu kepada ibu tersebut dan memberi mereka untuk membuat pilihan sama ada mahu menyerahkan anak mereka sebagai anak angkat serta memaklumkan kepada keluarga si ibu terlebih dahulu," kata Pengurus Komunikasi Yayasan Orphancare, Anis Nor Tajul Arus.

Beliau berkata bayi yang ditinggalkan di pusat itu akan diserahkan kepada pasangan yang telah mendaftar dengan yayasan berkenaan.

"Pasangan yang inginkan anak angkat akan ditemubual terlebih dahulu dan perlu menghadiri kursus selama 10 jam," katanya.

Orphancare ini mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kesihatan.

Ia kini mempunyai tiga 'baby hatch' iaitu di Petaling Jaya, Sungai Petani dan Johor serta di lapan cawangan Hospital KPJ. -- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA