• Dibunuh Akibat Perbalahan Agama

    Published: Monday, 31 October 2016
    A- A+

    KOTA BHARU - Mayat empat lelaki yang ditemui di kawasan semak di Kampung Tanjung Hilir, Bekelam Bachok di sini dipercayai mati dibunuh akibat perbalahan agama.

    Kesemua mangsa merupakan warga Myanmar sebelum itu dilarikan sekumpulan lelaki dari Tunjung pada Selasa lalu.

    Difahamkan kesemua mangsa lelaki berusia 22 hingga 31 tahun itu dilarikan sekumpulan sembilan lelaki bertopeng dari hostel mereka pada pukul 11 malam.

    Sumber berkata, kejadian tersebut dipercayai bermotifkan dendam lama berkaitan krisis agama di negara asal mereka.

    "Pada Rabu lalu polis menerima laporan mengenai empat lelaki warga Myanmar dilarikan sekumpulan sembilan lelaki bersenjatakan pisau," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, keempat-empat mayat tersebut mempunyai satu atau dua kesan tikaman di bahagian dada dan abdomen.

    Katanya, siasatan awal mendapati mangsa ditekup di muka dengan plastik, ditikam sekali atau dua di dada dan abdomen dan dibunuh di lokasi lain sebelum dibawa dan dicampakkan di tempat kejadian.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- Kosmo

    Subjects:

  • No Comment to " Dibunuh Akibat Perbalahan Agama "