Dedah Rahsia Kerajaan, Terpulang Pada Polis Untuk Bertindak



Sebarang tindakan terhadap tiga anggota Parlimen, yang juga bekas anggota Kabinet, yang didakwa mendedahkan rahsia kerajaan di Dewan Rakyat akan ditentukan oleh polis menurut perundangan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jika didapati ucapan individu berkenaan melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, polis akan menyerahkan keputusan siasatan kepada Peguam Negara untuk membuat pertuduhan.

"Walaupun anggota Parlimen mempunyai kekebalan apabila berucap di Dewan Rakyat atau Dewan Negara, namun anggota Kabinet terikat dengan OSA dan sumpah simpan rahsia kerajaan

"Ini turut terpakai walaupun mereka tidak lagi menjadi anggota pentadbiran kerajaan, katanya.

"Ini harus dipatuhi dan menjadi ingatan buat kita semua," kata Ahmad Zahid kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran buku 'Being Abdullah Ahmad Badawi' yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata walaupun berbeza pendapat, namun soal prinsip dan perundangan negara perlu dipatuhi.

Bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah didakwa membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA