DAP hanya pentingkan kuasa, agenda parti


IPOH - MCA mendakwa DAP hanya mementingkan kekuasaan dan agenda parti daripada memperjuang kebajikan kaum Cina di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, meskipun parti berkenaan mempunyai 38 ahli Parlimen di Dewan Rakyat namun tiada sebarang perubahan positif yang dibuat terhadap kaum Cina melalui penguasaan itu.

"Mereka ada 38 ahli Parlimen tetapi apa yang mereka lakukan sehingga kini? Apa kemajuan yang dibawa kepada kaum Cina? Kita tak nampak melainkan ia hanya untuk kepentingan mereka.

"Ketika ini juga, DAP kata hubungan mereka dengan Pas sudah putus tetapi berlaku sebaliknya di Selangor. Mereka membentuk kerajaan bersama. Apa semua ini? Adakah ini suatu yang jujur?" katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan MCA Perak 2016 di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Ulu Kinta, hari ini.

Hadir sama Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Timbalan Pengerusi MCA Perak, Datuk Ooi Jing Ting JP.

Menurut beliau, pihaknya turut menggesa masyarakat terutama kaum Cina menolak DAP yang jelas tidak mempunyai matlamat dan hanya menggunakan rakyat untuk mengukuhkan kedudukan.

"Sebagai contoh, DAP kalau dua penggal dulu mereka bersama Pas. Mereka gunakan pelbagai kaedah untuk yakinkan pengundi Cina supaya sokong Pas. Tiba-tiba mereka putus dan Pas pula membelakangkan terus undi Cina," katanya.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, kaum Cina perlu mendokong perjuangan MCA supaya segala kepentingan dan hak dapat disuarakan secara terus kepada kerajaan yang memerintah.

Katanya, dengan cara tersebut juga setiap masalah yang melingkari kaum Cina dapat diselesaikan secara baik selain mengikut saluran betul.

"Kaum Cina perlukan institusi kerajaan untuk selesaikan segala masalah dan perbezaan. Jadi sebagai sebuah parti bersama yang memerintah, kita mahu kaum Cina mendokong MCA bagi memudahkan perkara itu dilaksanakan," katanya.-SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA