Daesh Terdesak, Penduduk Mosul Jadi Perisai Manusia


WASHINGTON: Terdesak kerana berhadapan serangan besar-besaran tentera Iraq bagi merampas semula Mosul, militan Daesh bertindak memerangkap penduduk bandar itu untuk menjadikan mereka perisai manusia.

Perkara itu didedahkan Pentegon menerusi jurucakapnya, Kapten Tentera Laut, Jeff Davis.

Kata Davis, militan Daesh telah menyekat kira-kira 1.5 juta penduduk di Mosul daripada melarikan diri sejak beberapa minggu lalu.

“Kami tahu mereka (penduduk) digunakan sebagai perisai manusia. Mereka ditahan tanpa kerelaan,” katanya.

Tindakan Daesh juga dikatakan mempunyai kaitan dengan amaran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berhubung peningkatan bilangan pelarian dari bandar kedua terbesar di Iraq itu.

Mosul adalah kubu kuat terakhir militan Daesh di Iraq.

Pertempuran merebut Mosul bermula pada Isnin lalu dan setakat ini tertumpu di sebilangan perkampungan sekitar bandar itu. Kebanyakan perkampungan tersebut diduduki oleh masyarakat Kurdis.

Davis berkata, militan Daesh menggunakan bom kereta dan cuba mematahkan serangan udara serta risikan dron menggunakan asap tebal menyembunyikan pergerakan dan kedudukan mereka.

Sementara itu, jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Stephane Dujarric pula memberitahu, seramai 200,000 orang dijangka menjadi pelarian pada minggu pertama operasi merampas Mosul dengan jumlah itu akan meningkat kepada satu juta orang.

Pada ketika ini, pihak berkuasa Iraq dan tentera gabungan yang diketuai AS mahu penduduk Mosul terus berada di bandar itu kerana bimbang mereka akan dibunuh jika ditangkap sewaktu cuba melarikan diri.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA