Dadah Dijual Di Internet


SHANGHAI: Carfentanil merupakan antara dadah paling kuat yang berada dalam pasaran dengan bahan itu lazimnya digunakan sebagai ubat pelali bagi menumbangkan gajah atau dijadikan senjata kimia.

Jumlah carfentanil yang lebih kecil daripada biji lada hitam sudah boleh membunuh manusia.

Di sebalik bahaya itu, penjual-penjual di China menawarkan carfentanil secara terbuka di internet untuk dieksport ke seluruh dunia, demikian menurut siasatan agensi berita AP.

AP mengenal pasti kira-kira 12 syarikat China yang bersetuju mengeksport dadah itu ke AS, Kanada, Britain, Perancis, Jerman, Belgium dan Australia pada harga serendah AS$2,750 (RM11,440) sekilogram.

Dadah jenis opioid itu dianggap sebagai musuh terbaharu dalam penyalahgunaan bahan terlarang yang membunuh berpuluh-puluh ribu orang di AS sahaja.

Di China, carfentanil tidak diklasifikasikan sebagai bahan kawalan. AS kini memberi tekanan ke atas China supaya menyenaraihitamkan dadah itu tetapi Beijing belum bertindak.

“Kami sudah pasti boleh membekalkan carfentanil. Ia merupakan antara produk laris kami,” kata seorang jurujual Syarikat Jilin Tely Import and Export Co kepada AP dalam satu e-mel pada September lalu. AP bagaimanapun tidak menempah dadah itu atau menguji sama ada produk yang ditawarkan adalah asli.

Sejak berpuluh-puluh tahun lalu sebelum carpentanil ditemui oleh pengedar dadah, bahan itu dan dadah serupa lain pernah menjadi kajian untuk digunakan sebagai senjata kimia oleh AS, Rusia, Israel, China, Republik Czech dan India, demikian menurut agensi berita tersebut. - AGENSI

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA